RM35.00
by Nor Hashimah Jalaluddin
Teks tradisional yang lahir pada dan selepas abad ke-15 dikatakan sebagai mercu kegemilangan tamadun Melayu lama. Banyak sorotan, ulasan dan tulisan telah dibuat
mengenai teks tradisional Melayu oleh sarjana tempatan mahupun luar. Dalam teks ini dikatakan terserlah ilmu, pemikiran, gaya hidup, sejarah, salasilah keturunan raja
dan banyak lagi yang telah dipersembahkan sama ada secara tersurat mahupun tersirat. Meskipun telah lahir banyak tulisan mengenai teks ini, namun kajian terhadap teks
tersebut tetap subur dan berjalan baik sehingga ke hari ini. Ini membuktikan bahawa banyak khazah pemikiran yang boleh dicungkil dan dijadikan bahan perbincangan
ilmiah bersama. Buku ini telah dibahagikan kepada dua bahagian, satu mengenai keintelektualan Melayu dan satu lagi mengenai kepengarangan Melayu. Kedua-dua
bahagian ini telah berjaya menonjolkan keintelektualan Melayu dalam menyusun dan mengolah cerita. Banyak jalan cerita beserta bukti-bukti bahasa dapat dirujuk sebagai pengukuh hujah bahawa teks ini tinggi mutunya. Perihal hebatnya pentadbiran Sultan Melaka telah berjaya menjadikan Melaka bukan sahaja pusat perdangangan dunia
tetapi juga pusat peradaban yang agung. Teks yang terhasil sama ada bersifat sejarah mahupun hikayat tetap membawa mesej penting yang membiaskan keintelektualan
Melayu pada zaman itu. Dakwaan bahawa teks Melayu adalah hasil cedukan dari cerita rakyat Hindu juga dapat ditepis berasaskan fakta dari cerita yang dikarang. Ini sekali lagi membuktikan bahawa keintelektualan dan kepengarangan Melayu adalah satu usaha yang boleh dibanggakan.