RM35.00 RM25.29
by Ding Choo Ming
Ternyata sudah ada peningkatan minat ke atas kearifan dalam manuskrip yang diwarisi itu dalam R & D, pemodenan, malah pembinaan identiti bangsa dan negara. Peningkatan minat itu juga disebabkan sudah tercetus kesedaran baru bahawa tindakan tegas perlu dibuat untuk melindungi dan mempertahankan kearifan, sejarah, memori, sejarah dan akal budi dalam manuskrip Nusantara dalam saat negara kita berdepan dengan arus pembaratan, Eropahisasi, Amerikanisasi dan globalisasi. Tema utama buku ini memberi perhatian khusus kepada topik yang semakin lama semakin ramai orang sudah menerima nilai dari negara barat, selain mengimport standard dari negara barat, malah berhijrah ke negara barat di satu pihak. Sementara kita juga mendapati menonjolkan karifan lokal dalam kebudayaan kita adalah cara yang praktikal dalam mempertahankan imej dan identiti kita di satu pihak yang lain. Ini bukan disebabkan nilai peribumi Nusantara lebih tinggi daripada yang ada di negara barat, tetapi apa yang kita warisi dan punyai itu adalah yang unik. Keunikan kebudayaan itulah yang membuat kita berbeza daripada bangsa lain. Dengan kata lain, kearifan lokal dalam kebudayaan kita, termasuk ritual, muzik, sastera, bahasa, seni dan pertukangan itulah yang telah membentu imej dan identiti kita selama ini. Daripada perspektif yang lebih luas, kebudayaan yang kita warisi itu adalah kuasa pengikat yang akan menjamin perpaduan masyarakat dan keharmonian hidup kita. Kuasa itu perlu dimanfaatkan untuk membantu kekuatan politik dan nilai agama dalam meningkatkan kesejahteraan hidup dan kemakmuran negara kita. Dalam konteks ini, manuskrip Nusantara yang lahir dari kesedaran, jiwa, rasa dan selera orang peribumi wajar diberi perhatian serius dan dibanggakan. Tetapi, kini generasi muda kita sudah tidak berminat dengannya, maka tidak merasa megah dan bangga dengan warisan kita dari masa lampau. Tanpa merasa megah dengan warisan, memori dan sejarah masa lampau, generasi muda itu boleh diibaratkan sebagai kapal yang sudah kehilangan kompas, maka mudah sesat dan karam dalam samudera globalisasi yang kita harungi.