Sejarah telah mencatatkan bahawa sekitar 4,000 tahun yang lalu, Bab-edh-Dhra (Sodom) dan Numeira (Gomorrah) wujud di atas muka bumi ini. Bab-edh-Dhra dan Numeira menyandang gelaran sebagai bandar atau kota yang tercantik, makmur, tenang dan selesa untuk didiami. Namun tiba-tiba saja dilenyapkan oleh Allah SWT akibat kebejatan warganya yang rosak dan buruk akhlak. Meskipun Kitab Suci tidak pernah menyebutkan apa perbuatan mereka secara lengkap sehingga kita tertanya-tanya kenapa warga Bab-edh-Dhra dan Numeira bernasib seperti itu namun Kitab Suci sangat jelas memberikan penggambaran mengenai hukuman yang mereka terima dari Allah SWT.
Bab-edh-Dhra adalah kota di mana Nabi Luth AS (Al-Quran) atau Lot (Alkitab) pernah melakukan dakwah baginda, akan tetapi penduduk kota itu amat ingkar dan menolak apa yang didakwahkan oleh baginda. Mereka juga melakukan amalan homoseksual. Sehingga Allah SWT melenyapkan kota itu dengan hujan api dan batu. Sesungguhnya, kisah yang terdapat dalam Al-Quran bukanlah dongeng atau cerita karangan semata-mata, tetapi memang wujud dan benar-benar terjadi. Kita dapat membuktikannya melalui ilmu moden yang kini kita miliki, melalui berbagai kegiatan kajian dan penggalian di lokasi kejadian.
Ramai ilmuwan mengatakan bahawa pada zaman itu, teknologi dan cara hidup mereka sudah sangat maju dan sangat berkembang pesat. Hakikatnya dapat dilihat dari hasil kebudayaan berupa struktur bangunan, dan kerajinan tangan yang masih tersisa di bekas-bekas reruntuhan. Namun, kota yang sedemikian majunya ini hancur, akibat kerosakan perbuatan mereka sendiri. Al-Quran meriwayatkan kisah ini agar kita apat mengambil hikmah serta ibrah yang terkandung dalam kisah ini, baik berupa hikmah yang tersirat mahupun tersurat.
Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa kita, dosa setiap hamba-Nya yang masih mempercayai akan adanya Allah yang Maha Perkasa dan mengakuri segala suruhan serta larangan-Nya. Semoga Allah SWT tidak mengazab kita sebagaimana Dia mengazab kaum Nabi Luth dan kaum-kaum lain sehingga lenyapnya Bab-edh-Dhra (Sodom) dan Numeira (Gomorrah) dari muka bumi dek perbuatan yang dilakukan oleh hamba-Nya.