RM40.00
by Asmah Haji Omar
Buku ini menggambarkan perantauan orang Melayu dari alam Melayu ke alam baru di Australia dan wilayah-wilayahnya, mulai awal abad ke-19, dan menjadikan kawasan itu sebagai kawasan penyebaran bahasa Melayu. Kepulauan Cocos (Keeling) merupakan kawasan “kosong bahasa” dan “kosong peradaban” sebelum penempatan orang-orang Melayu di situ. Dalam kehidupan mereka yang tersisih daripada komuniti lain selama 150 tahun, orang Melayu Kokos dapat mempertahankan warisan budaya dan agama Islam serta juga bahasa Melayu. Pulau Christmas, yang juga “kosong bahasa” dan “kosong peradaban” sebelum akhir abad ke-19, telah bertukar wajah dengan kedatangan komuniti dari luar, khususnya Melaka, Singapura dan Hong Kong setelah terbukanya perlombongan fosfat. Di benua Australia, baik di pantai timur mahupun di pantai barat, terdapat tompok-tompok komuniti Melayu, yang berasal dari Malaysia, Singapura dan Indonesia. Komuniti Melayu yang mastautinnya lebih kekal di benua ini, terutama sekali di Australia Barat, ialah komuniti orang Melayu Kokos dan Pulau Christmas. Buku ini memperihalkan sejarah mastautin orang-orang Melayu di kawasan tersebut, dan usaha mereka mempertahankan warisan sambil menyesuaikan diri dengan alam dan tradisi yang baru. Di tempat baru ini, bahasa mengalami anjakan daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris. Kesedaran tentang pentinngnya bahasa Melayu sebagai pendukung budaya Melayu dan dengan itu penyampaian agama Islam kepada anak cucu, menyebabkan komuniti tersebut mengadakan program pengajaran bahasa Melayu yang bergandingan dengan pengajaran agama Islam.